15 JULAI: Arab Saudi mengesan kes cacar monyet pertama membabitkan seorang individu yang pulang dari luar negara, umum Kementerian Kesihatan, semalam.
Menurut laporan Saudi Press Agency (SPA), individu dari di Riyadh itu kini diberi penjagaan perubatan yang teliti mengikut prosedur kesihatan diluluskan, manakala langkah sudah diambil untuk mengenal pasti kontak individu berkenaan.
Kementerian itu turut mengesahkan usaha diteruskan untuk memantau perkembangan terbabit, sekali gus bersiap siaga menangani jangkitan berkenaan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan kesihatan, terutama ketika melakukan perjalanan, yang dihebahkan melalui saluran rasmi kementerian itu serta Pihak Berkuasa Kesihatan Awam (Weqaya). – AGENSI