15 JULAI: Jepun akan mengadakan Istiadat Pengebumian Negara pada musim gugur untuk mendiang Shinzo Abe yang maut ditembak minggu lalu, kata Perdana Menteri Fumio Kishida.
Majlis peringatan itu akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajan sebagai penghormatan kepada Abe terhadap kepemimpinan dan kecemerlangan sepanjang menjadi Perdana Menteri untuk tempoh lapan tahun dan lapan bulan, lapor agensi berita Kyodo.
Istiadat Pengebumian Negara untuk pemimpin jarang diadakan. Selasa lalu, majlis pengebumian hanya dihadiri waris terdekat dan sahabat handai.
Kali terakhir Jepun mengadakan majlis peringatan sedemikian pada 1967 untuk mendiang Shigeru Yoshida, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri ketika kebangkitan negara ini selepas Perang Dunia II.
“Dengan pengebumian negara, kami bersedih dengan (kematian) bekas Perdana Menteri (Abe) dan kami berazam untuk mempertahankan demokrasi dan sama sekali tidak akan tunduk kepada keganasan,” kata Kishida pada sidang media.
Kematian Abe sejurus sebelum pemilihan Dewan Tertinggi Parlimen Ahad lalu, menggemparkan negara yang terkenal dengan kawalan senjata api yang ketat dan keganasan politik jarang berlaku.
Kishida berkata, Abe layak menerima pengebumian negara kerana sumbangan besarnya kepada Jepun, termasuk memimpin ke arah pemulihan daripada tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda pada Mac 2011.
Kepemimpinan mendiang turut mendapat pujian pemimpin asing dan masyarakat antarabangsa dan kematiannya akibat tindakan “keganasan” amat mengejutkan dan menerima ucapan takziah dari dalam dan luar negara, kata Kishida.
Pada sidang media sama, Kishida turut menjawab soalan mengenai tahap kawalan keselamatan di Nara sehingga membolehkan seorang lelaki bersenjata dengan mudah menghampiri dan menembak bekas perdana menteri itu dari belakang.
“Terus terang saya katakan kawalan keselamatan (Abe) bermasalah. Saya telah mengarahkan siasatan menyeluruh dan penambahbaikan perlu dilakukan,” kata Kishida.
Agensi Polis Kebangsaan sedang meneliti insiden itu dan hasilnya dijangka dikeluarkan bulan depan. – AGENSI