KUSKOP tangguh projek pembangunan,bantuan usahawan tetap diteruskan
16 JULAI : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengambil langkah menangguhkan projek-projek pembangunan sebagai usaha penjimatan kementeriannya seiring dengan arahan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata bagaimanapun, program pembangunan usahawan tetap diteruskan kerana ia merupakan agenda utama KUSKOP untuk membantu golongan tersebut bangkit terutama dalam situasi ekonomi kini.
“KUSKOP antara kementerian yang dapat peruntukan paling kecil sebab kita tidak ada banyak program pembangunan. Kita banyak menggunakan agensi-agensi sedia ada (di bawah KUSKOP) untuk membantu usahawan.
“Kalau kata (program) pembangunan mungkin kita tangguh dahulu tetapi untuk membantu usahawan, kita kena berterusan sebab ramai yang baru hendak bangkit semula… Peruntukan yang ada di kementerian saya ini, kita akan lebih banyak belanjakan untuk bantu mereka,” katanya selepas merasmikan program Malaysia Sports League (MSL) 2022 peringkat negeri di sini, hari ini.
Noh mengulas mengenai laporan sebuah media tempatan semalam yang menyatakan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun Persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.
Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’ ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa mulai Rabu lepas.
Terdahulu, Noh berkata lebih 2,000 penyertaan direkodkan bagi MSL 2022 di peringkat daerah yang berakhir 5 Jun lepas dengan lima jenis sukan dipertandingkan iaitu futsal, bola jaring, sepak takraw, bola keranjang dan badminton.- BERNAMA