17 JULAI: Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan semula terma dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang mengenai tarikh penamatan perjanjian itu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini kerana dalam terma MoU tidak hanya disebut perjanjian akan berakhir pada 31 Julai tetapi sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 diumumkan.
Katanya, lagi pun parti dalam PH seperti PKR dan DAP kini mempunyai barisan kepemimpinan yang baharu.
“MoU itu menyatakan akan berakhir 31 Julai atau sehingga Pilihan Raya Umum. Kami tidak mahu mendesak pilihan raya diadakan secepat mungkin kerana ada banyak isu yang perlu kita tangani ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di Shah Alam, hari ini.
Pada 13 September tahun lalu, pentadbiran Ismail Sabri memeterai MoU itu yang ditandatangani bersama ketua-ketua parti dalam PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Anwar juga menegaskan akan berjumpa dengan Perdana Menteri minggu depan untuk menyatakan pendirian PH yang tidak mahu terbabit dengan strategi UMNO yang mendesak PRU-15 diadakan segera.
“Kami akan mempersiapkan diri untuk pilihan raya jika pun ia akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya. – BERITA HARIAN