17 JULAI: Pendaftar Pertubuhan (ROS) meminta PKR memberikan penjelasan berhubung pelbagai aduan berkaitan proses pemilihan parti itu yang berlangsung baru-baru ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pagi ini pasukan peguam parti diminta meneliti notis ROS dan memperhalusi penjelasan yang akan dibuat.
“Sejurus mendapat surat itu, perkara pertama terfikir dalam kepala, saya perlu bersedia dengan keadaan paling sukar dan paling buruk pernah berlaku, seumpama yang berlaku pada DAP pada 2013 dan MIC pada 2015.
“Tapi percayalah, dengan dukungan rakan pimpinan lama dan baharu, ini tugas terakhir saya. Selepas ini saya bukan lagi setiausaha agung dan untuk minit terakhir ini, saya Saifuddin Nasution akan mempertahankan parti ini sehabis daya daripada sebarang tindakan yang akan datang daripada ROS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu sesi penggulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL, di Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa ahli PKR membuat laporan polis serta kepada ROS berhubung keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.
Dalam pada itu, Saifuddin mengesahkan sejumlah 1,800 aduan diterima Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung isu pemilihan PKR yang antara lain berkaitan bantahan berkaitan disiplin, pelanggaran etika pemilihan serta keraguan undi.