17 JULAI: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meminta tujuh maklumat tambahan berkait permohonan pindaan Perlembagaan UMNO yang mahu melanjutkan tempoh pemilihan selewatnya enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pihaknya telah menyerahkan segala maklumat tambahan diminta RoS dan menjangkakan keputusan bakal diketahui sekitar dua minggu lagi.
“Sehingga hari ini, Ahad (17 Julai 2022) tiada lagi surat rasmi daripada mereka walaupun kita ada berhubung melalui telefon. Saya kira mereka memerlukan sedikit masa lagi untuk buat keputusan.
“Saya sendiri positif bahawa RoS akan meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan UMNO yang melibatkan dua perkara sahaja.
“Sebenarnya mereka meminta tujuh maklumat tambahan antaranya minit mesyuarat Perhimpunan Agung Khas (EGM), Perlembagaan Umno, notis dikeluarkan dan senarai kehadiran. Kalau nak dikira pada tarikh akhir maklumat tambahan diberikan, bererti ada masa seminggu dua lagi masa untuk RoS membuat keputusan. Kemungkinan mereka nak seminggu dua lagi,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam program Skop Malaysia Gazette, hari ini.
Sebelum ini RoS mengesahkan kepada Bernama keputusan permohonan UMNO yang dibuat dua bulan lalu itu bakal diketahui selewat-lewatnya semalam (16 Julai 2022) namun sehingga kini masih tiada sebarang maklumat berkaitan perkara tersebut.
Dalam pada itu, Ahmad menyifatkan sekiranya pemilihan terpaksa dibuat sebelum PRU-15, UMNO bakal berdepan perpecahan.
“Kesan pemilihan sebelum pilihan raya ini telah kami buat kajian berkali-kali…ia kesan negatif kepada kekuatan UMNO. Keputusan itu (pemilihan sebelum PRU) akan memecahkan UMNO dan hancur leburkan UMNO sebelum PRU15. Ini kami dah tahu sangat.
“Jadi kita harap benar RoS dapat buat keputusan dengan profesional…mudah saja perkara itu tidak perlu ambil masa seperti nak meluluskan pindaan Perlembagaan MCA sebelum ini kerana sudah ada rujukan kes jadi tak perlulah ambil masa yang lama untuk beri kelulusan kepada UMNO,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh UMNO itu bagi mengelakkan parti Melayu terbesar itu goyah menjelang PRU-15.
“Kita telah membuat beberapa kali penangguhan pemilihan parti sebelum ini untuk mengelakkan pemilihan dibuat sebelum PRU. Saya ibaratkan UMNO satu pohon besar, akar umbinya itu 22,000 cawangan dan 3.4 juta ahli.
“Kalau dibuat pemilihan sebelum pilihan raya, pohon itu akan bergegar, tumbang itu tidaklah tapi ia akan mengganggu urusan pilihan raya,” katanya. – Oleh NUR EISYA