17 JULAI: Sebanyak tujuh kes kematian akibat jangkitan malaria direkodkan dalam negara tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata enam kematian berkenaan membabitkan malaria zoonotik, manakala satu kes malaria manusia yang direkodkan sejak awal tahun hingga 9 Julai lalu.
“Kematian yang dilaporkan membabitkan dua kes masing-masing dari Terengganu dan Sabah serta satu kes masing-masing Batu Pahat, Johor; Kanowit, Sarawak dan Raub, Pahang,” katanya selepas merasmikan program Sambutan Hari Malaria Peringkat Kebangsaan di Meru, Klang hari ini.
Dr Noor Azmi berkata, bagaimanapun kes ketika ini masih berada dalam keadaan terkawal.
Beliau berkata, sebanyak 1,311 kes malaria zoonotik dan 136 kes malaria manusia direkodkan bermula awal tahun sehingga 9 Julai lalu.
“Sabah mencatatkan kes tertinggi dengan 782 kes malaria zoonotik dan empat kes malaria manusia dilaporkan setakat ini,” katanya.