18 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menggagalkan penyeludupan anggota badan hidupan liar bernilai RM80 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang 10 Julai lalu.
Dalam operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, pada jam 2.40 petang itu menemukan 6,000 kilogram (kg) gading gajah, tengkorak serta tulang haiwan (300kg), sisik tenggiling (100kg), tanduk badak sumbu (29kg), dan tanduk haiwan (14kg).
Semua barang larangan itu ditemui disorok di belakang timbunan kayu bergergaji dalam sebuah kontena dari Afrika.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, ketika pemeriksaan saringan menggunakan mesin pengimbas ke atas sebuah kontena mengesan membawa barangan larangan terbabit.
“Siasatan awal mendapati kapal tersebut bergerak dari Afrika sebelum ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sepatutnya berlayar ke Pasir Gudang, Johor namun berhenti di Pelabuhan Klang,” katanya di Pejabat Kastam Selangor hari ini.
Beliau berkata, dipercayai kesemua anggota hidupan liar itu bukan untuk pasaran di negara ini dan hanya menjadikan pelabuhan sebagai transit untuk pemindahan kontena kepada kapal lain ke negara ketiga.
Katanya, jika mengikut pasaran gelap, sebatang gading gajah bernilai RM8,000 untuk 1kg dan taring harimau boleh mencecah RM10,000 (1kg) dan paling mahal adalah tanduk badak sumbu dianggarkan RM288,000 untuk 1kg.
Tambah Zazuli, berdasarkan rekod ini menjadikan rampasan terbesar berbanding tahun 2012 melibatkan 500kg gading gajah bernilai RM2.4 juta dan tahun 2014 membabitkan kulit tenggiling berjumlah RM40 juta.
“Kita masih mengesan pengimport dan ejen perkapalan terlibat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” tegasnya.