18 JULAI : Cadangan untuk menubuhkan pasukan pemantau terdiri daripada imam atau pelajar di luar negara bagi memantau operasi rumah sembelihan berstatus halal di luar negara sukar dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Beliau yang menyambut baik cadangan itu sekali gus menjelaskan usaha pemantauan oleh pihaknya telah dijalankan berkata ini disebabkan oleh peruntukan undang-undang negara lain yang harus dihormati.
“Ia melibatkan undang-undang, kita tak boleh sembarangan…cadangan itu baik tapi peruntukan undang-undang mengekang kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan ketidakpatuhan rumah sembelihan halal di Australia yang mendapat pengiktirafan Akreditasi Dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setakat ini.
Akhbar itu turut melaporkan AHDAA dikatakan sedang melalui proses untuk mendapatkan kelulusan halal daripada Jakim bagi membenarkan produk daging di bawah seliaannya memasuki pasaran negara.
Berkenaan kempen itu, Idris memaklumkan pihaknya telah mula menjalankan aktiviti pencegahan di kawasan-kawasan ‘hotspot’ aktiviti perjudian di sekitar ibu negara sejak dua bulan lepas.
“Kita sudah bermula dua bulan dengan meletakkan van-van penguatkuasaan kita di tempat-tempat hotspot perjudian, itu adalah satu daripada usaha yang kita buat,” katanya.
Melalui inisiatif yang sama, beliau menambah pihaknya juga sedang mengumpul data-data dan akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyantuni pekerja seks (pelacur) untuk membawa mereka keluar supaya tidak lagi terlibat dengan perbuatan itu. – BERNAMA