18 JUL : Dewan Rakyat kecoh selepas tamatnya sesi Pertanyaan Jawab Lisan apabila Ahli Parlimen Kota Belud (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis mempertikai keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang menolak usulnya sebanyak tiga kali.
Menurutnya, usul dibawa berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah itu bukan perkara remeh namun ia soal kedaulatan negara.
“Buat kali ketiga tuan Speaker menolak usul yang saya bawa di Dewan Rakyat ini tentang tuntutan Sulu. Saya hairan dengan kerajaan, sampai tahap apa yang kamu membolehkan supaya bahas ini dibenarkan?
“Ini soal kedaulatan negara bukan soal remeh-temeh. Pasal Sabah kamu tidak peduli? Sebab Sulu tuntut Sabah bukan negeri-negeri lain?,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut memaklumkan kepada dewan bahawa usulnya yang sama ditolak dengan alasan subjudis
“Usul saya ditolak dengan alasan subjudis tapi hari ini ia dilaporkan secara meluas oleh media tempatan dan antarabangsa. Surat khabar hari ini memetik kenyataan Speaker Dewan Negara, ‘jangan bayar’.
“Isu ini perlu dibahas. Bawa usul ini bukan untuk pertikai hakim atau sebagainya tapi untuk dapatkan penjelasan kenapa ini berlaku dan rakyat perlu mendapat pandangan menteri yang menjawab dalam Parlimen. Ini melibatkan maruah dan integriti negara,” katanya.
Menjawab dakwaan tersebut, Azhar berkata isu berkaitan aset Petronas di Azerbaijan telah dibincangkan pada sesi sidang Parlimen yang lalu.
“Ia telah dibincang panjang lebar dan telah diberi penerangan oleh menteri ekonomi pada masa itu. Semua orang tahu apa yang berlaku tentang aset di Azerbaijan.
“Saya menerima pandangan undang-undang bahawa ia sememangnya subjudis kerana masih ada satu atau dua prosiding yang masih berjalan sekarang. Peraturan mesyuarat agak terang dalam perkara ini maka saya perlu ikut,” katanya.
Setelah itu beliau digantikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Dato’ Mohd Rashid Hasnon di tengah-tengah kekecohan tersebut sebelum akhirnya Mohd Rashid mengarahkan Isnaraissah keluar dewan selama dua hari.
Ahli Parlimen Shah Alam dan Sepanggar turut diberi amaran kerana mengganggu persidangan.
Suasana dewan terus kecoh hingga mengganggu pembentangan usul Rang Undang-undang Perhutanan Negara oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Wakil rakyat pembangkang turut mendesak Mohd Rashid menarik balik keputusan menggantung Isnaraissah yang dibuat sebaik menggantikan Azhar.
Mohd Rashid akhirnya menarik balik keputusan tersebut dan meminta Isnaraissah membuat rayuan secara bertulis hari ini berkait usulnya itu.
Terdahulu Financial Times melaporkan waris Kesultanan Sulu yang melakukan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada Malaysia telah merampas aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan bernilai mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.87 bilion).
Oleh NUR EISYA