Kes harian COVID-19 Tokyo meningkat lebih sekali ganda
18 JULAI : Ibu negara Jepun, Tokyo merekodkan 17,790 kes baharu COVID-19 hari ini, meningkat sebanyak 8,308 kes atau 1.88 kali ganda, berbanding seminggu lalu.
Jumlah itu juga menyaksikan bandar raya itu mencatatkan kes baharu melebihi 10,000 untuk enam hari berturut-turut.
NHK World melaporkan, purata tujuh hari kes COVID-19 yang dicatatkan sehingga hari ini pula sebanyak 15,292.9 kes, meningkat sebanyak 203.3 peratus, berbanding seminggu lalu.
Pihak berkuasa Tokyo memaklumkan, sebanyak 13 pesakit bergejala serius memerlukan bantuan pernafasan hari ini, selain merekodkan satu kematian akibat virus berkenaan.
Secara keseluruhan, Jepun merekodkan sejumlah 105,584 kes baharu hari ini, dengan angka harian di negara itu mencatat lebih 100,000 kes untuk hari ketiga berturut-turut. – AGENSI