19 JULAI: Sekurang-kurangnya 22 maut manakala 33 lagi cedera selepas bas yang dinaiki merempuh belakang sebuah trak yang berhenti di tepi jalan di selatan Mesir semalam.
Pihak berkuasa berkata bas berkenaan membawa sekitar 45 penumpang ketika merempuh trak berkenaan dekat perkampungan al-Barsha, kira-kira 300 kilometer (km) ke selatan ibu negara, Kaherah di kawasan pentadbiran al-Minya.
“Trak berkenaan diberhentikan di tepi jalan untuk menukar tayar, apabila sebuah bas dalam perjalanan dari kawasan pentadbiran Sohag menuju ke Kaherah merempuh bahagian belakangnya,” menurut kenyataan pihak berkuasa.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Mesir di mana kebanyakan jalannya tidak diselenggara dengan baik manakala peraturan trafik sering diabaikan.
Kira-kira 7,000 orang maut akibat kemalangan di negara itu pada 2020, menurut statistik rasmi kerajaan. – AFP