19 JULAI : Penangguhan sementara kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia adalah disebabkan kekeliruan yang timbul dalam mekanisme pengambilan pekerja domestik Indonesia ke Malaysia, demikian jelas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, isu ini telah dibincang semasa mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri semalam.
“Mesyuarat telah bersetuju supaya satu perbincangan segera diadakan oleh Kemneterian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia bersama duta Indonesia ke Malaysia untuk menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook berhubung isu pembekuan sementara kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia.
Kata Saravanan lagi, kerajaan juga telah bersetuju untuk menyelaraskan sistem yang sedia ada dengan sistem yang dicadangkan oleh Indonesia sepertimana yang disebut di dalam memorandum persefahaman (MOU) pengambilan pekerja negara itu.