19 JULAI : Polis mengesahkan seorang penceramah bebas bergelar ustaz telah direman atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun.
Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Sasikala Devi A/P Subramaniam menerusi satu kenyataan hari ini, pihaknya telah melakukan tangkapan susulan laporan yang dibuat oleh mangsa.
“Bertindak dari maklumat tersebut, sepasukan Pegawai dan anggota Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek pada 18/07/2022 jam lebih kurang 4.50
petang di IPD Kuala Selangor.
“Pihak polis juga telah mendapat kebenaran reman selama (5) hari mulai 19 hingga 23 Julai 2022 dari Mahkamah Majistret Sungai Besar bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dapat dijalankan,” jelasnya.
Katanya lagi, hasil siasatan awal pihak polis mendapati, pengadu telah berkenalan dengan suspek yang merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia dalam
lingkungan 30-an sejak bulan Mei 2021.
“Bermula dari perkenalan tersebut,
pengadu dan suspek telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa
lokasi yang berbeza,” ujarnya.
Sasikala memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Setakat ini, sebanyak (4) kertas siasatan telah dibuka iaitu (2) di Selangor, (1) di Kuala Lumpur dan (1) di Perak melibatkan pengadu yang sama.
Mengikut peruntukan undang-undang, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 adalah masing-masing membawa hukuman penjara
selama tempoh tidak melebihi (20) tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.