20 JULAI: Malaysia mengekalkan prestasi yang memberangsangkan pada Jun 2022, apabila mencatat rekod nilai tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pertumbuhan eksport disumbangkan terutama oleh permintaan yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Beliau berkata, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka.
Katanya, nilai eksport bulanan tertinggi telah dicatatkan ke ASEAN, AS dan EU.
“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkembang sebanyak 18.4 peratus, 21.3 peratus, 15.2 peratus dan 72.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Azmin berkata, perdagangan bagi suku kedua 2022 berkembang sebanyak 32.7 peratus kepada RM730.36 bilion, berbanding suku kedua 2021.
Beliau berkata, eksport bertambah 30 peratus kepada RM394.24 bilion dan import meningkat 36.1 peratus kepada RM336.13 bilion.
“Ini nilai suku tahunan yang tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan naik 3.2 peratus kepada RM58.11 bilion,” katanya.
Beliau berkata, berbanding suku pertama 2022 pula, nilai perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat 16.9 peratus, 14.3 peratus dan 20.1 peratus, manakala lebihan dagangan menurun 10.6 peratus.
Katanya, pada separuh pertama 2022, perdagangan naik 28.2 peratus kepada RM1.355 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Eksport meningkat 26.1 peratus kepada RM739.13 bilion dan import berkembang 30.9 peratus kepada RM616.00 bilion.
“Lebihan dagangan bertambah 6.7 peratus kepada RM123.13 bilion. Ini nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan,” katanya.
Pada Jun 2022, eksport bagi ketiga-tiga sektor telah merekodkan pertumbuhan kukuh dua angka berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Eksport barangan perkilangan mencecah nilai tertinggi sebanyak RM122.07 bilion atau 83.5 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 33.8 peratus tahun ke tahun dan menjadi pertumbuhan dua angka yang ke-11 bulan berturut-turut.
Eksport yang meningkat melebihi RM1 bilion telah direkodkan bagi barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam serta barangan optik dan saintifik.
Eksport keluaran pertanian naik 46.8 peratus tahun ke tahun kepada RM12.93 bilion, nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Peningkatan ini dipacu terutama oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.