21 JULAI : Apli Yusoff, 52, dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkuat kuasa 18 Julai lalu bagi menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan.
PTPTN menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya berharap Apli dapat membantu PTPTN menjadi sebuah agensi kerajaan yang disegani, sekali gus merealisasikan usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan utama negara.
Apli yang berkelulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1994 adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia dan Ahli Lembaga Pengarah MARA Incorporated Sdn Bhd.
Apli juga adalah Presiden Squash Racket Association of Terengganu, selain Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi GAGASAN Kebangsaan.
PTPTN juga mengucapkan terima kasih kepada Wan Saiful atas sumbangan dan bakti sebagai Pengerusi PTPTN mulai 18 Jun 2018 sehingga 17 Jun 2022.