HONG KONG: An An, panda jantan gergasi yang tertua di dunia dilaporkan mati di Hong Kong pada usia 35 tahun.
Usianya dianggarkan menyamai usia manusia iaitu kira-kira 105 tahun, lapor Xinhua.
Kesihatannya dilaporkan merosot sejak beberapa minggu lalu.
The Ocean Park Hong Kong memaklumkan An An telah banyak memberi kenangan terindah dan detik-detik bersamanya akan dirindui kerana kepandaian dan keletahnya.
Panda jantan itu tiba di Hong Kong pada 11 Mac 1999, bersama dengan seekor lagi panda gergasi betina, Jia Jia, yang mati pada 2016 pada usia 38 tahun.
An An dilahirkan di Wilayah Sichuan, barat daya China.
Pada 1997, Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China telah menghadiahkan Jia Jia dan An An kepada Hong Kong.
“Kami berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk menjaga Jia Jia dan An An supaya taman ini boleh berkembang menjadi pangkalan penting untuk pemuliharaan panda.
“Sejak ketibaan pasangan panda di taman itu, Jia Jia dan An An bertindak sebagai duta yang menyokong usaha mempromosikan alam semula jadi dan ekosistem.
“Misi An An dan Jia Jia akan diteruskan oleh panda gergasi Ying Ying dan Le Le yang tinggal di Giant Panda Adventure,” kata pengerusi Ocean Park Corporation, Paulo Pong.
Pong merujuk kepada sepasang lagi panda gergasi yang dihadiahkan kepada Hong Kong.
Secara purata, jangka hayat panda gergasi adalah kira-kira 20 tahun tetapi jika bawah jagaan manusia, jangka hayat mereka boleh mencecah kira-kira 30 tahun. – BERNAMA