Program jualan murah Keluarga Malaysia di 639 DUN mulai Ogos
21 JULAI : Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan dilaksanakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara setiap minggu mulai pertengahan Ogos, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata program yang memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan lebih murah pada setiap minggu diadakan selama 18 minggu sehingga akhir tahun ini.
“Program ini akan melibatkan lima kementerian dan dijalankan berdasarkan satu garis panduan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini hari ini.-BERNAMA