21 JULAI : Seorang menteri Israel hari ini mengecam laporan televisyen dibuat seorang wartawan yang memasuki tapak paling suci Islam, di Makkah susulan orang bukan Islam diharamkan memasukinya.
Tindakan wartawan itu disifatkan sebagai ‘bodoh dan berbahaya’.
Wartawan berkenaan yang menyediakan laporan mengenai hubungan antara Israel dan negara Teluk di Makkah dikatakan sudah membuat permohonan maaf selepas dikecam ramai menerusi media sosial.
Saluran berita Israel, Channel 13 menyiarkan laporan selama 10 minit dari Arab Saudi yang juga lokasi sejarah kelahiran Islam, oleh wartawannya Gil Tamary pada Isnin lalu.
Wartawan itu menaiki kereta di tepi Masjidil Haram di Makkah dan mendaki Jabal Rahmah, iaitu tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, kira-kira 14 abad yang lalu.
Ditemani individu yang kelihatan seperti pemandu pelancong tempatan dengan wajahnya dikaburkan, Tamary turut bercakap dengan nada perlahan dalam bahasa Ibrani dan ada kala beralih kepada bahasa Inggeris untuk mengelak dikesan sebagai warga Israel.
“Saya meminta maaf (tetapi) ia adalah satu perkara yang bodoh untuk dilakukan dan dibanggakan.
“Ia tidak bertanggungjawab dan memberikan impak buruk hanya untuk kepentingan rating,” kata Menteri Kerjasama Serantau Israel, Esawi Freij, kepada penyiar awam, Kan.
Freij berkata, laporan itu menjejaskan usaha yang digerakkan secara beransur-ansur oleh Amerika Syarikat (AS) ke arah hubungan yang lebih normal di antara Israel dan Arab Saudi.
Ia menyamai perjanjian diplomatik 2020 dengan Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.
Ciapan di Twitter dengan tanda pagar #Seorang Yahudi di Masjidil Haram tular selepas laporan itu disiarkan.
“Rakan-rakan yang dikasihi di Israel, seorang wartawan anda memasuki Makkah yang juga kota suci Islam, dan membuat penggambaran di sana tanpa rasa malu.
“Tindakan ini amat memalukan dan biadap kerana menyakiti agama Islam,” kata seorang aktivis Saudi yang pro-Israel, Mohammed Saud di Twitter.
Media Saudi yang dikawal ketat oleh kerajaan tidak membuat liputan mengenai laporan itu dan pegawai berkaitan setakat ini belum memberikan sebarang komen mengenainya.
Tamary berada di Jeddah untuk membuat liputan mengenai lawatan Presiden AS, Joe Biden pada Jumaat.
Tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa meluluskan perjalanannya ke Makkah.
Bagaimanapun, dia kemudiannya meminta maaf dan menyatakan tidak berniat menyinggung perasaan umat Islam. – AFP