22 JULAI: Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, dilaporkan telah menghantar surat untuk keluar daripada BERSATU minggu lalu.
Berdasarkan satu sumber, Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya dilaporkan menyerahkan surat berkenaan kepada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Difahamkan, tindakan beliau dibuat selepas berasakan masa depannya sebagai Ahli Parlimen bukan Bumiputera dalam parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin gelap.
“Presiden juga tahu mengenainya, namun pada masa ini pimpinan parti BERSATU masih memujuknya untuk mengubah fikiran.
“Namun, dia tetap akan meneruskan langkahnya untuk keluar daripada BERSATU,” katanya dipetik daripada portal, FMT.
Santhara merupakan satu-satunya Ahli Parlimen bukan Bumiputera antara 10 Ahli Parlimen yang mengikuti langkah Datuk Seri Azmin Ali untuk keluar daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.