22 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Group, Borje Ekholm di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri menerusi satu kenyataan ringkas di dalam Facebook miliknya berkata, dalam pertemuan itu, Ekholm turut memberi laporan kepada beliau berhubung status terkini berhubung pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.
“Pada hari ini saya telah menerima kunjungan hormat oleh Börje Ekholm, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Group bertujuan antaranya memberikan status terkini berhubung Pelaksanaan Rangkaian 5G di Malaysia.
“Ericsson sendiri mengakui bahawa Malaysia mampu menjadi perintis kepada pembangunan prasarana dan liputan rangkaian 5G,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau amat memahami bahawa teknologi dan rangkaian 5G memainkan peranan besar dalam melonjakkan daya saing ekonomi Malaysia Impak positif yang bakal diterima oleh Keluarga Malaysia serta tahap produktiviti dan nilai tambah industri dari pelaksanaan teknologi 5G amat jelas sekali.
“Börje Ekholm, telah memberikan komitmen kepada saya setelah 57 tahun Ericsson bertapak di Malaysia, Ericsson akan terus mempergiat aktiviti dan pelaburan di Malaysia,” katanya lagi.