22 JULAI : Sebanyak 1,207 paket minyak masak subsidi yang dianggarkan bernilai RM3,517.50 telah disita sebuah premis kedai runcit di Wilayah Tok Bali, Kelantan dalam serbuan bersama KPDNHEP, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali serta Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Pemilik premis tersebut, seorang lelaki berusia 46 tahun mengakui bahawa dia menyimpan minyak masak paket bersubsidi itu di premisnya sejak 19 Julai lalu.
Perbuatan lelaki itu terbongkar apabila dua penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyamar sebagai pembeli minyak masak untuk membongkar kegiatan lelaki tersebut.
Penguat kuasa KPDNHEP menahan lelaki berkenaan setelah dia enggan menjual minyak masak kepada anggota yang menyamar dengan alasan kedai runcitnya tidak dibuka.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar, berkata pemeriksaan dalam kedai runcit menjumpai 71 kotak minyak masak.
“Pemiliknya diminta untuk menunjukkan resit pembelian dan resit jualan berkaitan minyak masak itu tapi penama gagal mengemukakan dokumen terbabit.
“Kesemua minyak masak yang dianggarkan bernilai RM3,517.50 itu disita manakala pemilik premis ditahan sementara untuk siasatan lanjut.
Tiga kes dibuka daripada serbuan iaitu menyorok barang kawalan atau memusnahkannya, enggan menjual barang kawalan dan gagal menyelenggara buku stok.