23 JULAI: Gelombang haba yang melanda Eropah makin memburuk mengakibatkan lebih 1,700 kematian di Semenanjung Iberian, kata Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah semalam.
Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge menggesa tindakan bersama dalam menangani perubahan iklim yang menyaksikan dalam beberapa dekad lalu, ratusan ribu orang terkorban.
“Tahun ini, kita menyaksikan lebih 1,700 kematian akibat gelombang haba di Sepanyol dan Portugal,” katanya.
Kluge menegaskan, pendedahan terhadap suhu ekstrem memberi kesan kepada keadaan kesihatan termasuk golongan berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, bayi dan warga emas.
WHO Eropah menjelaskan angka terbabit berdasarkan jangkaan awal laporan yang diterima daripada pihak berkuasa dan jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Angka sebenar kematian dikaitkan dengan gelombang haba tidak dapat diketahui buat masa ini dan musim panas masih lagi panjang.
Badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata kerajaan perlu menunjukkan iltizam dalam melaksanakan Perjanjian Paris yang menetapkan sasaran untuk mengehadkan tahap kepanasan kepada dua darjah Celsius, di atas paras praindustri dan tidak melebihi 1.5 darjah Celsius.
Beliau berkata, anggota WHO di wilayah Eropah merangkumi 53 negara termasuk di Asia Tengah sudah menunjukkan komitmen kerjasama terhadap ancaman kesihatan global dan kini tiba masa untuk melakukannya sekali lagi. – AFP