23 JULAI: Seramai 330 individu membabitkan 120 keluarga terjejas dalam kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Seremban berikutan hujan lebat malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata, hujan lebat sejak jam 7 malam itu berlarutan sehingga beberapa jam.
“Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Ismail, Kampung Chedang, Taman Happy dan Kampung Sri Mantau.
“Rumah yang berdekatan sungai dan kawasan rendah menyebabkan air naik dengan cepat namun keadaan tidak kritikal. Hujan lebat intensiti tinggi pada 9 malam dan reda kira-kira dua jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, paras air paling tinggi naik hingga 0.5 meter di beberapa kawasan, bagaimanapun tiada pusat pemindahan dibuka.