23 JULAI: Polis Thailand menahan seorang ahli perniagaan Malaysia dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi perjudian dalam talian, di selatan negara itu.
Teow Wooi Huat, 55, juga dikenali sebagai Tedy, ditangkap di ibu pejabatnya, Kumpulan MBI di Dan Nok berhampiran pusat pemeriksaan sempadan di daerah Sadao di wilayah selatan, awal pagi Jumaat, lapor Bangkok Post.
Penolong Ketua Polis Thailand, Surachate Hakparn berkata, Teow didakwa melakukan pengubahan wang haram berhubung perjudian dalam talian di selatan negara itu.
Penahanan itu dibuat selepas siasatan dilakukan terhadap aktiviti perjudian dalam talian di Songkhla, Nakhon Si Thammarat dan wilayah selatan lain yang didapati ada kaitan dengan lelaki itu.
Ahli perniagaan itu adalah pengasas Kumpulan MBI, yang mengendalikan kompleks hiburan, termasuk resort, di 100-rai di Dan Nok.
MBI International Sdn Bhd miliknya juga menjalankan beberapa perniagaan di Malaysia. Beliau pernah ditahan pada 2017 oleh pihak berkuasa Malaysia atas tuduhan dadah.
Menurut laporan South China Morning Post, tahun lalu, Teow didakwa dikehendaki berhubung penipuan pengubahan wang haram bernilai USD83 juta, di Macau.