24 JULAI : Sepuluh orang terbunuh manakala tujuh individu lagi cedera semalam, susulan kejadian runtuhan di bahagian pergunungan lombong arang batu di China, lapor saluran televisyen kerajaan CCTV.
CCTV turut memberitahu, kemalangan itu berlaku sekitar 11.15 pagi waktu tempatan di wilayah barat laut Gansu dengan operasi menyelamat kini berakhir.
“Kakitangan telah berpindah di sekitar tapak perlombongan di bandar Baiyin ‘ketika runtuhan di lereng gunung berlaku’ yang mengakibatkan pekerja serta kenderaan tertimbus,” katanya yang turut memberitahu, seramai 17 orang dilaporkan terperangkap.
Menurut laporan akhir yang dikeluarkan petang semalam selepas penemuan mayat terakhir, ’10 orang disahkan maut dan tujuh lagi cedera ringan’,” katanya, yang memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan,” kata CCTV.
Kemalangan di kawasan perlombongan kerap berlaku di China, yang mana industri di sana mempunyai rekod keselamatan yang buruk dan penguatkuasaan peraturan yang lemah.
Bagaimanapun, tahap keselamatan telah bertambah baik dalam beberapa dekad kebelakangan ini, begitu juga dengan liputan media mengenai insiden besar, yang kebanyakannya sering diabaikan.
September lalu, 19 pelombong terkandas di bawah tanah selepas lombong arang batu runtuh di wilayah Qinghai, di barat laut negara itu.
Kesemua mereka ditemui mati selepas proses pencarian yang mengambil masa lama dijalankan.
Tiga bulan kemudian di utara wilayah Shanxi, ratusan penyelamat telah dihantar ke lombong arang batu yang ditenggelami air, bagi menyelamatkan pelombong yang terperangkap. 20 individu berjaya diselamatkan, manakala dua mayat ditemui selepas operasi dijalankan selama dua hari. – AFP