24 JULAI : Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) yang akan diadakan mulai 26 hingga 28 Julai ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dijangka meraih nilai eksport lebih RM300 bilion dengan penyertaan 39 negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sehubungan itu, pemain industri digesa untuk memanfaatkan acara itu sebagai batu loncatan bagi menembusi industri agrikomoditi global yang bernilai AS$756 bilion (AS$1=RM4.45) di seluruh dunia.
“Acara ini menawarkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan memudahkan peserta untuk menjalin hubungan, berurus niaga dengan transaksi yang besar serta meneroka potensi pelaburan.
“Ia turut memberi peluang untuk mereka menyusun strategi produktif ke arah menembusi pasaran baharu sebelum kita memasuki 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MIACES adalah langkah yang baik untuk menghubungkan pemain industri dengan penyelesaian yang inovatif, sekaligus menyumbang ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan, terutamanya ketika dunia menghadapi perubahan iklim.
“Melalui perbincangan meja bulat MIACES, kami juga berharap ia mencetuskan perbincangan ke arah membangunkan dasar yang relevan dengan peredaran masa, sambil memastikan pembangunan yang mampan di Malaysia sebagai negara pengeluar dan pengeksport,” menurut Zuraida.
Bertemakan ‘Memajukan Sektor Agrikomoditi Dalam Ekosistem Lestari,’ MIACES tahun ini menampilkan produk pertanian yang pelbagai, di samping memberi penekanan terhadap sektor tumpuan seperti minyak sawit, getah, kayu, koko, lada dan kenaf yang merupakan antara pemacu utama ekonomi Malaysia selaku negara tuan rumah bagi acara ini.- BERNAMA