25l4 JULAI : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberikan ‘isyarat betul’ dalam mencari waktu sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Perdana Menteri sedang meneliti dan menunggu waktu sesuai, justeru kita perlu memberi isyarat yang betul.
“Saya akan ke seluruh negara bersama rakan-rakan. Kita akan membentang serta membincangkan hasil lawatan kerja itu pada peringkat jawatankuasa pengurusan dan biro politik parti.
“Kita akan habiskan (pembentangan laporan PRU) sebelum pertengahan Ogos depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi BN Pulau Pinang, di Tasek Gelugor hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, jentera pilihan raya BN di Pulau Pinang sudah mencapai 50 peratus tahap kesiapsiagaan, setakat ini, dan beliau mahu melihat keseragaman strategi di setiap bahagian.
“Kita belum berbincang soal jumlah kerusi yang akan ditandingi dan calon. Ini akan ditentukan oleh pimpinan parti.
“Kita perlu melakukan penambahbaikan terlebih dahulu, barulah boleh keluar menghadapi ‘peperangan’ PRU sebagai satu pasukan dan keluarga besar BN,” katanya.
Meskipun bukan mudah untuk menewaskan DAP di Pulau Pinang, Mohamad berkata, ia tetap tidak mustahil.
Beliau berkata, perkara itu sudahpun terbukti pada pilihan raya di Melaka, Sarawak serta Johor, baru-baru ini, yang menyaksikan kerusi tradisi yang dikuasai DAP berjaya dirampas oleh BN.
“BN telah diberi kepercayaan semula oleh rakyat di kawasan-kawasan berkenaan. Bukan mudah untuk mengalahkan DAP, tetapi ia tidak mustahil,” katanya. – BERNAMA