25 JULAI : Direktorat Komunikasi Turkiye melancarkan dua buku mengenai Masjid Hagia Sophia Istanbul, sehari sebelum ulang tahun kedua pembukaan semula masjid itu.
Buku berkenaan memuatkan mengenai kaedah seni bina masjid dan reaksi orang Turkiye terhadap pertukaran status masjid itu, menurut kenyataan direktorat.
“Hagia Sophia kembali menjadi masjid… impian yang menjadi kenyataan, bukan sahaja untuk Turkiye bahkan buat semua umat Islam di seluruh dunia,” tulis Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di mukadimah buku itu.
Beliau berkata, dengan ciri-ciri sejarah, agama dan budaya yang ada di masjid itu ia melambangkan tindakan terbaik dalam menepis Islamofobia yang semakin meningkat khususnya di Eropah dan jenayah kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia.
Direktorat itu semalam mengeluarkan dokumentari khas mengisahkan sembilan masjid berbeza di bandar Anatolia, yang dinamakan Hagia Sophia.
Pada 10 Julai 2020, mahkamah Turkiye membatalkan dekri Kabinet 1934 yang telah menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, mengembalikan peranannya sebagai masjid selepas 86 tahun.
Kemudian pada 24 Julai 2020, monumen itu muncul kembali seperti zaman kegemilangannya.
Hagia Sophia dijadikan sebagai gereja selama 916 tahun dan 86 tahun sebagai muzium, tetapi dari 1453 hingga 1934, hampir 500 tahun, ia berperanan sebagai sebuah masjid.
Pada 1985, Hagia Sophia telah tersenarai dalam Warisan Dunia UNESCO.
Ia adalah antara destinasi pelancongan utama di Turkiye serta dibuka untuk pelancong domestik dan asing.- BERNAMA