26 JULAI : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju untuk menjual stok ubat penimbal paracetamol kepada pihak swasta bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ubat di negara ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, permintaan yang tinggi terhadap paracetamol telah menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan yang ketara bagi ubat berkenaan di pasaran.
Jelasnya, selain paracetamol, kini terdapat peningkatan permintaan yang mendadak terhadap ubat yang digunakan untuk rawatan penyakit selsema dan batuk.
“Sebagai contoh, penjualan bagi ubat paracetamol didapati meningkat sehingga 238 peratus bagi suku pertama tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.
“Sehubungan itu, Kerajaan telah bersetuju supaya stok penimbal ubat paracetamol kerajaan dijual di pasaran dan bermula 22 Julai lalu, KKM telah menerima sebanyak 220 pesanan daripada hospital dan klinik swasta untuk ubat berkenaan.
“KKM akan menghantar dua pek ubat paracetamol di mana setiap satu pek mengandungi 1,000 biji ke klinik swasta dan sebanyak lima pek kepada hospital. Ia dijual dengan harga pasaran asal yang dibeli oleh kerajaan untuk memastikan ubat berkenaan dijual dengan harga berpatutan di pasaran,” katanya.
Khairy berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, berhubung perancangan Kementerian bagi mewujudkan Dasar Sekuriti Ubat-ubatan Negara dan sejauh manakah langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan stok penimbal ubat-ubatan dapat mengawal ketidakstabilan bekalan.
Sementara itu, Khairy menjelaskan, selain permintaan yang mendadak, kekurangan bekalan ubat-ubatan di negara ini juga berpunca daripada isu global dunia yang menjejaskan rantaian bekalan ubat-ubatan.
“Rantaian bekalan ubat-ubatan juga terjejas disebabkan polisi total lockdown di negara China, di mana bekalan bahan aktif farmaseutikal yang terbanyak dihasilkan, dan juga peperangan antara Russia dan Ukraine, yang mana bekalan bahan tambahan kepada bahan aktif farmaseutikal seperti kanji dihasilkan.
“Negara lain seperti Australia dan Singapura juga mengalami kekurangan bekalan ubat. Secara umumnya, keadaan ini dijangka akan pulih pada suku ke 4 tahun 2022,” katanya lagi.