26 JULAI : Bekas Menteri Dalam Negeri sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘diserang’ wakil rakyat PH ketika sesi perbahasan pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen PH-Jelutong, RSN Rayer mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen Pagoh-Bersatu itu yang membenarkan SOSMA dikenakan ke atas dua Adun DAP pada tahun 2019.
Bagaimanapun menurut Muhyiddin, tindakan diambil ke atas dua Adun DAP itu adalah mengikut prosedur dan penelitian pihak polis.
“Tindakan-tindakan yang telah pun diambil adalah mengikut prosedur dan laporan itu telah diteliti halus oleh pihak polis. Sebagai menteri yang bertanggungjawab saya mesti percaya dan yakin kepada pihak polis pasal saya bukan penyiasat.
“…segala apa yang dibuat pihak polis adalah berdasarkan siasatan yang telah dibuat. Saya tak boleh kata kepada IGP (ketua polis negara), ini bohong, ini tak betul,” katanya ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan hari ini.
Rayer bertegas sehingga kini tiada bukti dua Adun DAP tersebut mengancam keselamatan negara untuk disiasat di bawah SOSMA.
“Mana bukti adun DAP terlibat keganasan? Sehingga hari ini tak ada bukti. Kenapa kianati kami dan menyebabkan adun-adun kami ditahan dibawah SOSMA?
“Kamu adalah menteri dalam negeri kami kenapa kamu tidak berpihak kepada kami? Kita dalam gabungan yang sama, kamu berkempen dengan kami (tapi) kamu khianati kami,” katanya.
Muhyiddin sempat membalas dengan mengatakan, “saya nak jelaskan bahawa saya ambil tindakan berdasarkan undang-undang dan tanggungjawab yang diamanahkan Kabinet. Saya bersama anda ketika itu. Jangan lupa. Sebagai kawan ya saya bersama anda tapi soal prinsipnya, itulah tanggungjawab yang diputuskan Kabinet.”
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri menegaskan sepanjang 22 bulan PH memerintah tiada sebarang keputusan diambil untuk menghapuskan SOSMA.
“Waktu saya buat keputusan itu jemaah menteri dipimpin Langkawi ( Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak ada pula mengatakan ‘batal semula’ ataupun ‘jangan ambil langkah sebegitu’.
“Saya tertakluk kepada Kabinet walaupun kuasanya terletak dibawah menteri dalam negeri. Malahan waktu itu, tak ada keputusan ‘kita batal SOSMA’. Saya masih ingat. Bukanlah lama sangat, 2018, 2019 sampai 2020. Jadi saya percaya ketika saya berada di situ, PH pun kata mungkin perlu ada SOSMA sebab tak ada keputusan yang spesifik,” katanya.- Oleh NUR EISYA