26 JULAI : Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas undian belah bahagian.
Keputusan diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas proses pengiraan undi menunjukkan 111 Ahli Parlimen menyokong manakala 88 Ahli Parlimen tidak menyokong, dan 21 Ahli Parlimen tidak hadir.
Usul tersebut bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi yang membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.
Ketika sesi perbahasan, Dewan Rakyat kecoh ekoran rasa tidak puas antara ahli Parlimen PH dengan Bersatu apabila mereka dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan Menteri KDN ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenakan SOSMA ke atas dua Adun DAP.
Dewan turut kecoh dengan pertelingkahan antara wakil rakyat Amanah dan PAS apabila Amanah menuduh PAS menolak SOSMA sebelum menjadi kerajaan dan kini menyokong akta itu setelah berada dalam kerajaan.
Ketika sesi penggulungan, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau mengambil maklum semua cadangan dan kritikan dibuat pembahas terutama melibatkan dakwaan SOSMA dikenakan ke atas ahli politik.
“Saya bersetuju banyak perkara perlu dipinda sebab itu ada ‘sunset clause’. Ada satu masa nanti untuk kita kurangkan beberapa kesalahan daripada jadual pertama SOSMA tersebut,” katanya.- Oleh NUR EISYA