27 JULAI : Sebanyak 4,759 kes baharu COVID-19 direkodkan semalam, di mana hampir 70 peratus membabitkan jangkitan di sekitar Lembah Klang sahaja.
Jumlah itu termasuk tiga kes import, sekali gus menjadikan keseluruhan 46,260 kes aktif sehingga tengah malam tadi.
Berdasarkan maklumat laman COVIDNOW Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan angka jangkitan baharu tertinggi dengan masing-masing 1,840 dan 1,447 kes.
Negeri lain pula membabitkan Perak dengan 223 kes, diikuti Pulau Pinang (211), Sabah (209), Negeri Sembilan (170), Kedah (130), Melaka (103), Sarawak (95), Johor (74), Kelantan (73), Putrajaya (59), Pahang (47), Terengganu (37), Labuan (27) dan Perlis (14).
Sebanyak sembilan kes kematian dilaporkan semalam, dengan tiga kes BID atau meninggal dunia ketika dibawa ke pusat kesihatan atau hospital.
Sejak minggu lalu, purata 8.9 orang dilaporkan meninggal dunia, sementara untuk 30 hari pula purata 6.2 kematian yang menunjukkan trend peningkatan.
Daripada jumlah kes aktif direkodkan, 44,708 kes atau 96.6 peratus menjalani kuarantin di rumah, diikuti 1,477 dimasukkan ke hospital, 23 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan 52 di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 28 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sejak COVID-19 melanda, negara merekodkan kumulatif 4,621,835 kes dengan 35,932 kematian di seluruh negara.