28 JULAI : Penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini adalah untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha ini sememangnya adalah untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihanraya.
“Pada hari ini, kita telah melakar satu sejarah besar negara.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti telah diluluskan dengan sokongan 209 Ahli Parlimen bersamaan persetujuan lebih daripada majoriti 2/3 Ahli Parlimen,” katanya menerusi catatan ringkas di Facebook miliknya.
Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang terlibat dalam menyokong RUU tersebut.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli Parlimen sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang yang bersama-sama menyokong pindaan perlembagaan sebentar tadi,” ujarnya.