29 JULAI : Satu data penyelidikan menunjukkan gelombang haba yang berpunca daripada perubahan iklim di Britain mungkin akan meningkat sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi.
Di kawasan timur England merekodkan suhu tinggi sepanjang masa 40.3 darjah Celsius dan cuaca panas itu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan puluhan rumah di London.
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain mencatat rekod tertinggi pada 20 Julai, ketika gelombang panas memuncak di kawasan barat Eropah.
Pasukan penyelidik antarabangsa cuba menggambarkan cuaca panas melampau seperti itu berlaku sebelum era perindustrian bermula pada pertengahan abad ke-19.
Mereka kemudiannya membandingkan kemungkinan itu dengan gelombang haba yang berlaku dalam iklim semasa – iaitu bumi hampir 1.2 darjah Celsius lebih panas secara purata berbanding pada zaman praindustri.
Mereka memfokuskan suhu maksimum di wilayah Britain yang paling terjejas iaitu di England tengah dan Wales timur, dan mendapati haba yang memecahkan rekod itu sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi, berkemungkinan berpunca oleh gas rumah hijau yang dihasilkan oleh manusia yang mengakibatkan pemanasan global.
Kajian itu mendapati kejadian haba melampau di seluruh Eropah meningkat lebih daripada yang dianggarkan oleh model iklim.
Model janaan komputer itu turut menganggarkan bahawa pelepasan gas rumah hijau meningkatkan suhu dalam gelombang haba pada Julai sebanyak dua darjah Celsius tetapi sebenarnya, gelombang haba adalah empat darjah Celsius lebih panas berbanding tanpa pemanasan buatan manusia.
“Di Eropah dan bahagian lain di dunia, kami melihat semakin banyak gelombang haba yang memecahkan rekod menyebabkan suhu melampau yang menjadi lebih cepat daripada kebanyakan model iklim.
“Ia adalah penemuan yang membimbangkan yang menunjukkan bahawa jika pelepasan karbon tidak dikurangkan dengan cepat, ia boleh menjadi lebih buruk daripada yang kita fikirkan sebelum ini,” kata pensyarah kanan sains iklim di Imperial College London’s Grantham Institute untuk Perubahan Iklim, Friederike Otto.
Pada 2020 saintis di Pejabat MET Britain menganggarkan suhu melebihi 40 darjah Celsius berlaku dalam iklim semula jadi – yang tiada pemanasan akibat manusia – menjadi kira-kira satu dalam 1,000 tahun.
Hari ini anggaran itu berada pada satu dalam 100 tahun tetapi saintis yang terbabit dalam kajian itu berkata, cuaca ekstrem yang diperhatikan berlaku lebih cepat daripada yang diramalkan.
“Walaupun dengan anggaran konservatif, kami melihat peranan besar perubahan iklim dalam gelombang haba United Kingdom.
“Di bawah iklim semasa yang berubah akibat pelepasan gas rumah hijau, ramai mengalami peristiwa yang hampir mustahil berlaku sebaliknya. Semakin lama kita mengambil masa untuk mencapai sifar bersih, semakin teruk gelombang haba akan menjadi,” kata penyelidik bersama di Institut Grantham, Mariam Zachariah. – AFP