29 JULAI : Sambutan Maal Hijrah bukanlah sekadar menghayati penghijrahan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dari kota suci Mekah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi peristiwa hijrah itu sendiri mempunyai pengertian yang lebih besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peristiwa Hijrah mengajar umat Islam supaya bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran atau kemungkinan.
“Nilai-nilai ini amat penting untuk apabila kita semua hari ini berhadapan dengan cabaran yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sehingga menyebabkan kita terpaksa bergelut untuk menanganinya.
“Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai.
“Maka, sambutan Ma’al Hijrah tahun ini bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, merupakan tema yang amat bersesuaian dengan latar kehidupan kita pada hari ini selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi akibat COVID-19,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1444H/2022 hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri mengajak rakyat di negara agar menghayati konsep ‘Tasamuh’ atau toleransi yang yang merupakan antara nilai terpuji dalam peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW yang sangat bersifat universal.
Katanya, semangat Tasamuh ini telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, semasa membangunkan kota suci Madinah setelah berhijrah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang.
“Sikap toleransi atau berlapang dada yang dicontohkan oleh kaum Ansar dan Muhajirin dalam peristiwa Hijra ini bukan hanya membolehkan kita untuk terus membangun sehingga dihormati, tetapi ia juga dapat mengelakkan kita daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.
“Semangat tasamuh ini telah diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang Perlembagaan Berkenaan Larangan
Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pada 28 Julai yang lalu apabila sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menggesa umat Islam agar menerapkan nilai-nilai peristiwa Hijrah ini supaya ia menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1444 kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam, di mana jua anda berada.
“Raikanlah tahun baharu ini dengan semangat dan kekuatan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran demi kemaslahatan ummah,” katanya lagi.