29 JULAI : Melaka juga kini bersedia melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, RUU berkenaan akan dilaksanakan di negeri itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“RUU berkenaan perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibincangkan di peringkat negeri.
“Di peringkat negeri, kita akan diberikan satu tempoh untuk dibincangkan sebelum dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat negeri di Hotel Muzaffar, di Ayer Keroh hari ini.
Dewan Rakyat semalam secara sebulat suara meluluskan RUU anti-lompat parti melalui undi belah bahagi selepas bacaan ketiga.
RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama dua hari membabitkan 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang, namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat BERSATU.