29 JULAI : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan UMNO berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu telah disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan ringkas di Facebook miliknya.
Menurut Ahmad Maslan, beliau telah menerima surat daripada RoS berhubung kelulusan tersebut petang tadi.
“Sukacita dimaklumkan bahawa ROS telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan UMNO. Kelulusan ROS itu berkuat kuasa pada tarikh 29 Julai 2022.
“ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada 6 bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).
“ROS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat),” katanya.
Jelasnya lagi, ini bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada 6 bulan selepas PRU15 diadakan.
“Bagi pihak UMNO, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO,” ujarnya.