30 JULAI : Pertemuan delegasi Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan beberapa isu dibangkitkan PN, kata Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) berkata beliau percaya Ismail Sabri terbuka untuk berbincang dengan rakan-rakan parti yang terlibat dalam pembentukan kerajaan berhubung apa jua isu.
“(Pertemuan PN dan Perdana Menteri) itulah yang sebaik-baiknya kerana perkara ini (isu dibangkitkan PN) perlu duduk dan difikirkan bersama.
“Perdana Menteri tidak ada masalah untuk duduk dan berbincang atas apa jua perkara terutama sekali dengan rakan-rakan parti yang terlibat dalam pembentukan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di sini, hari ini.
Annuar berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai hasrat PN untuk bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan pada Khamis berkata PN memutuskan untuk menghantar delegasi bertemu Perdana Menteri bagi tujuan itu.
Mengulas lanjut, Annuar berkata Perdana Menteri dalam apa jua tindakan akan mengambil kira situasi negara dan kepentingan rakyat dalam membuat keputusan.
“Soal politik dan kepartian tidak boleh kita terlalu dahulukan daripada kepentingan nasional dan negara,” katanya menambah, Jemaah Menteri ketika ini menjalankan tugas seperti biasa dengan penuh keharmonian. – BERNAMA