30 JULAI : Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan menjadi penggal terakhir buat beliau dalam politik.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau mahu bersara daripada gelanggang politik untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Bekas Perdana Menteri juga tidak menolak kemungkinan akan bertanding pada PRU-15 akan datang, sekiranya parti memutuskan beliau layak dipilih sebagai calon.
“Insya Allah kalau parti benarkan, saya akan bertanding pada PRU-15 nanti. Nampak daripada tepukan tadi mengesahkan boleh bertanding, Insya Allah, badan sihat, dulu kena kanser.
“Allah makbul doa saya, beri saya kesihatan. Kalau nak tendang bola boleh tendang, tapi tak jauh. Kalau pukul golf untuk 200 meter sekali pukul boleh pergi maknanya itu masih okay lagi.
“Mungkin lepas ini berehat dekat rumah, berehat dengan isteri, cucu seramai lapan orang, anak-anak saya. Saya fikir sudah sampai masa tapi kalau keadaan mendesak dan memerlukan nantilah Insya-Allah kita akan (fikirkan) perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Dialog Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama belia di Kuala Terengganu hari ini tadi.
Muhyiddin, 75, yang juga Pengerusi MPN, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Bagaimanapun, 17 bulan selepas itu iaitu pada 16 Ogos 2021, beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.
Pada PRU-14, Muhyiddin bertanding di kerusi Parlimen Pagoh atas tiket PH dan menang dengan majoriti 6,927 undi.