30 JULAI : Sepanyol melaporkan kematian pertama akibat cacar monyet semalam, menandakan kematian pertama akibat wabak itu di Eropah.
Sepanyol adalah antara negara paling teluk dilanda wabak berkenaan dengan 4,298 mangsa dijangkiti virus itu, menurut pusat penyelaras dan amaran kecemasan Kementerian Kesihatan.
“Daripada 3,750 pesakit cacar monyet berdasarkan maklumat yang ada, 120 kes (3.2 peratus) dimasukkan ke hospital seorang maut,” kata pusat berkenaan dalam satu laporan menyusuli kematian pertama akibat cacar monyet di luar Benua Afrika yang dilaporkan di Brazil.
Pihak berkuasa perubatan enggan memberikan punca khusus kematian kerana masih menunggu laporan bedah siasat.
Sabtu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global iaitu amaran tahap tertinggi, sama seperti yang diberikan kepada COVID-19 dua tahun lalu.
Menurut WHO, lebih 18,000 kes sudah dikesan di seluruh dunia di luar benua Afrika sejak awal Mei lalu.
Ia sudah menular di 78 negara dengan 70 peratus daripada kes terbabit ditemui di Eropah dan 25 peratus di Amerika, kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, Rabu lalu. – AFP