1 OGOS : Barisan Nasional (BN) berharap Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Dana Politik dapat dibentangkan sekurang-kurangnya untuk bacaan kali pertama di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata RUU itu adalah antara komitmen BN dan gabungan politik tersebut telah mencadangkannya sebelum PRU14 agar masalah berkaitan akauntabiliti, ketelusan dari segi pergerakan wang dapat diletakkan pada satu proses serta ada undang-undang yang menentukannya.
“Kali ini kita mempunyai Perdana Menteri yang boleh bawa perkara ini dan kita harap setidak-tidaknya dapat dibuat bacaan kali pertama di peringkat Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan Forum Polisi Cukai Malaysia ke-3 di sini hari ini, mewakili Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas pelantikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu, Zambry berkata ia memberikan suatu impak dan dorongan yang baik kepada BN Selangor, mengambil kira latar belakangnya sebagai menteri serta pengalaman beliau.
Semalam, Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul menggantikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Jamal pula dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.
Menurut Noh, pelantikan Tengku Zafrul merupakan antara usaha untuk menawan semula negeri Selangor.- BERNAMA