Cacar Monyet : New York isytihar darurat ekoran kes meningkat
1 OGOS : Pihak berkuasa di New York City semalam mengisytiharkan darurat ekoran peningkatan kes cacar monyet, lapor Agensi Anadolu (AA).
Datuk Bandar New York City, Eric Adams dan Pesuruhjaya Kesihatan, Ashwin Vasan dalam satu kenyataan bersama berkata, seramai 150,000 penduduk bandar mungkin berisiko dijangkiti.
“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di peringkat persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak dos vaksin sebaik sahaja ia tersedia kelak,” menurut kenyataan itu.
Langkah itu diambil beberapa hari selepas New York dan San Francisco turut mengisytiharkan darurat.
“Saya mengisytiharkan darurat untuk mengukuhkan langkah pencegahan menghadapi wabak cacar monyet,” ciap Gabenor New York Kathy Hochul di Twitter Jumaat lalu.
Sementara itu, kes di bandar raya San Francisco di California telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh seminggu mencecah 261 kes.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lalu mengisytiharkan kecemasan kesihatan global susulan penularan wabak cacar monyet. – BERNAMA