Minat pelajar terhadap STEM semakin berkurang – Menteri
1 OGOS : Kerajaan akui minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) semakin berkurangan sejak kebelakangan ini yang boleh menyebabkan negara ketinggalan dari segi pembangunan inovasi dan teknologi berbanding negara lain.
Sehubungan itu Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) membuka ruang kepada pelajar dari sekolah rendah untuk didedahkan kepada sains secara semula jadi.
“Pada hari ini dunia bersaing atas inovasi dan teknologi. Kita lihat minat dalam bidang STEM ini semakin hari semakin agak berkurangan. Jika kita biarkan perkara ini berlaku maka kita akan terkebelakang dalam konteks pembangunan khususnya apabila bersaing dalam konteks STEM.
“Sebab itu apabila kita lihat tentang pemansuhan UPSR dan PT3 ini kita mahu bahawa murid daripada peringkat sekolah rendah lagi didedahkan dengan minat kepada sains secara lebih semula jadi supaya datang minat itu dengan rasa bahawa mereka ingin membuat satu eksplorasi yang lebih mendalam,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, ada dalam kalangan murid yang mengelak susulan takut dengan subjek Sains kerana merasakan ia subjek yang sukar.
“Ini (pendedahan) bagi membolehkan nanti apabila mereka naik ke sekolah menengah mereka tak takut dengan subjek sains. Apa yang berlaku ramai murid yang merasakan bahawa sains ini subjek yang sukar maka mereka memilih untuk tidak mengikuti program sains.
“Sebab itu antara pendekatan kita adalah kita kukuhkan minat terhadap mata pelajaran STEM ini daripada peringkat sekolah rendah lagi supaya bila ke peringkat sekolah menengah mereka dapat membawa minat itu dalam mata pelajaran sains,” katanya.
Sebelumnya Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan kebimbangan terhadap angka yang dilaporkan sebelum ini berkait kuota pengajian dalam bidang Sains yang tidak dapat diisi susulan kekurangan pelajar.
“Saya harap dengan pemansuhan UPSR dan PT3 ini boleh memberi fokus kepada perkara lain ke arah kemenjadian murid. Namun soalan saya berdasarkan kenyataan dibuat dua tahun lepas berhubung pelajar-pelajar yang menyambung pengajian hanya 19% yang sambung pengajian di Tingkatan 4 aliran Sains menyebabkan kuota pengajian Sains di universiti semakin tidak dapat diisi.
“Itu belum mengambil kira 72.1% lepasan SPM yang tak sambung belajar, maksudnya hanya 27.9% yang sambung belajar.
Bagaimana strategi KPM untuk menarik minat pelajar-pelajar menyambung pelajaran dalam bidang Sains bagi memastikan keperluan pakar di negara kita tidak terjejas pada masa depan?,” tanyanya.
Dalam pada itu, Mohd Radzi turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang menyifatkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan dengan terburu-buru tanpa mengambil kira ketersediaan pelajar, guru mahupun ibu bapa.
“PBS ini bukan sesuatu perkara yang baharu. Di sekolah rendah sudah mula laksanakan sejak 2011 dan sekolah menengah sejak 2012. PBS telah ditanam di sekolah lebih 10 tahun. Nak kata ini dibuat benda baru adalah tidak tepat kerana perkara ini sudah ada di sekolah.
“Cuma dalam konteks ini, dalam setiap yang kita nak laksanakan itu ada kekangan. Sama ada kita nak tunggu sampai situasi itu menjadi sempurna baru kita nak laksanakan yang kita tak tahu bila…dunia hari ini cuba kurangkan tumpuan kepada peperiksaan bagi melahirkan generasi yang lebih kreatif, berfikiran terbuka maka kita perlu lihat…bila bercakap soal pendidikan, ia ‘always along game’.
“Kita perlu ambil keputusan bagi memastikan kita laksanakannya dalam keadaan kita sediakan sistem bersama-sama bagi membolehkan pelaksanaannya berjalan lancar,” jelasnya.-Oleh NUR EISYA