2 OGOS : “Kita sepatutnya lebih bimbang akan nyawa berjuta kanak-kanak dan remaja berbanding nasib industri rokok di negara ini,”demikian tegas Ahli Parlimen Kuala Krai (PAS), Abdul Latiff Abdul Rahman.
Beliau berkata, sekiranya industri rokok itu muflis sekalipun ia tidak menjejaskan banyak pihak.
“Sudah-sudahlah melahirkan kebimbangan terhadap nasib peniaga kedai runcit. Pergilah tanya peniaga runcit berapa keuntungan mereka dapat dengan menjual rokok?
“Bankrapkah mereka kalau tak dapat jual rokok kepada remaja? Saya nak tanya kedai kopi mana yang tutup kedai atau hotel mana hilang pelanggan kerana orang tak boleh merokok atau mengamalkan ‘smoke free hotel’?
“Jangan dibimbangkan jika industri rokok muflis di Malaysia kerana hanya ada lebih sedikit daripada 1,000 pekerja yang ada kaitan dengan industri rokok berbanding ada berjuta-juta kanak-kanak dan remaja yang hendak dilindungi,” katanya kepada Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, hari ini.
Beliau sempat melahirkan keyakinan terhadap RUU itu dalam memastikan generasi akan datang selamat daripada ancaman asap rokok dan rokok elektronik (vape).
“Saya yakin RUU dan penguatkuasaan generasi penamat (GEG) ini strategi tepat bagi memastikan generasi akan datang selamat daripada ancaman asap rokok atau vape.
“Malaysia akan menjadi negara contoh dalam pelaksanaan GEG seperti mana Australia sebab itu saya tidak hairan jika Malaysia akan menjadi tumpuan utama industri rokok untuk menggagalkan usaha ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif menyentuh soal bahaya vape yang kian menjadi trend dalam kalangan perokok.
“Industri vape juga telah berkembang di seluruh negara malah ramai perokok tegar telah beralih kepada vape sebagai alternatif ketagihan merokok. Hakikatnya mereka juga telah terperangkap dengan ketagihan vape kerana terdapat kandungan nikotin dalam cecair digunakan.
“Lebih membimbangkan saat ini dikejutkan dengan penyakit EVALI dalam kalangan pengguna tegar vape. Ini sudah tentu menjadi cabaran baharu oleh sistem kesihatan negara,” katanya yang menyokong RUU tersebut.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mempertikai tindakan kerajaan yang dilihat tergesa-gesa untuk meluluskan RUU ini tanpa kajian yang menyeluruh.
“Undang-undang ini menghalang orang daripada merokok memang kita suka tapi cara mesti betul. Masalahnya kenapa kita tidak mula mendidik generasi muda? Kenapa kita mengguna undang-undang untuk mengugut kanak-kanak?
“Janganlah tunjuk hero. Satu dunia orang tak boleh buat nak tunjuk Malaysia boleh buat. Kenapa kita kelam kabut untuk luluskan RUU ini?
“Kenapa kita tidak buat kajian betul-betul, buat pendidikan kepada rakyat. Sepatutnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bincang bagaimana nak masukkan dalam sistem pendidikan,” katanya yang menolak RUU tersebut.-Oleh NUR EISYA