3 OGOS : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini di peringkat akhir mengemukakan dasar dan hala tuju baharu bagi pengurusan sisa pepejal negara untuk mempercepat peralihan daripada konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi linear kepada ekonomi kitaran.
Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata KPKT juga sedang dalam tindakan melaksanakan semakan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi mengukuhkan elemen ekonomi kitaran secara keseluruhan.
“Bagi memastikan peralihan kepada ekonomi kitaran berjalan dengan sistematik dan teratur, perlunya satu kerangka perundangan yang menyeluruh merentasi keseluruhan rantaian pengurusan sisa pepejal serta melibatkan semua industri terlibat dan semua negeri di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. –BERNAMA