3 OGOS : Seorang doktor warga Malaysia diusir pulang dari Wellington, New Zealand selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mencabul pesakitnya secara seksual.
David Kang Huat Lim, 46, disabitkan kesalahan pencabulan seksual terhadap empat lelaki muda ketika dibius pada 2014 semasa mendapatkan rawatan penyakit ringan yang mereka alami, di sebuah klinik di Hastings.
Kesemua empat mangsa, yang dibius menggunakan Midazolam, memberitahu Mahkamah Daerah Napier pada 2017 bahawa ketika sedar, doktor berkenaan didapati sedang meraba alat sulit mereka.
David Lim, yang kini mengakui dirinya bertukar jantina menjadi wanita, dikenakan perintah pengusiran di akhir hukuman penjara lima tahun pada 1 Jun lalu dan masih menafikan tuduhan terhadapnya, lapor New Zealand Herald.
David Lim sekarang memperkenalkan dirinya sebagai wanita, namun keputusan Lembaga Parol dan dokumen rasmi terbaru agensi kerajaan masih merujuk kepada nama David Lim berikutan tiada bukti dia menukar nama.
Warga asing di New Zealand berisiko diusir apabila disabitkan kesalahan jenayah, sejurus selesai menjalani hukuman dan tidak lagi dibenarkan memasuki negara itu.
Bagaimanapun, Lembaga Parol berkata David Lim mungkin dibebaskan terlebih dulu kerana tidak dapat diusir serta merta berikutan kesukaran mendapatkan tiket penerbangan akibat pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, terpulang kepada Jabatan Imigresen New Zealand sama ada mahu menahannya sementara menunggu pengusiran dilaksanakan manakala Lembaga Parol memaklumkan mereka memerlukan notis lapan minggu bagi proses pengusiran.
Doktor kelahiran Malaysia itu berpindah ke New Zealand pada 2006 dan sebelum ini, pernah menjalani latihan sebagai doktor di Scotland selain pernah menjadi pendaftar di Hospital Hawke’s Bay di Hastings, New Zealand, selama tiga tahun.
Sejak 2019, dia menolak parol sebanyak empat kali ketika menjalani hukuman di penjara North Island.
Pendaftaran David Lim untuk berkhidmat sebagai doktor di New Zealand dibatalkan dan diarah menjalani hukuman penjara lima tahun pada Ogos 2017 selepas perbicaraan selama 10 hari.
Pada 2018, sebuah tribunal perubatan di New Zealand melarang David Lim daripada terus berkhidmat sebagai doktor perubatan di negara itu dan memerintahkannya membayar kos NZ$4,380 (RM12,219). – AGENSI