4 OGOS : Majlis Amanah Rakyat (MARA), meneruskan obligasinya menaja pelajar ke luar negara dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.
Terbaru, 1,246 pelajar cemerlang dipilih menerima tajaan melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 ke Amerika Syarikat (AS).
“MARA akan terus menyediakan peruntukan bagi menaja pengajian pelajar-pelajar cemerlang yang akan memberi manfaat kepada ribuan pelajar setiap tahun di bawah skim pinjaman boleh ubah bagi pengajian di dalam dan luar negara.
“Antara program penajaan yang ditawarkan adalah Young Talent Development Programme (YTP), Graduate Excellence Programme (GREP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), IPMA Excellent Students Programme (IESP) dan MARA Education Sponsorship Hybrid (MESH),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di sini hari ini .
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Jelas Mahdzir, selain UK dan AS, MARA turut menghantar pelajarnya ke Rusia seramai 84 orang, Australia 66 orang, India 50 orang, Perancis 47 orang, Ireland 34 orang, Sepanyol 16 orang, New Zealand 15 orang, Belanda 3 orang, Jordan 2 orang dan Jerman, Sweden serta Korea Selatan masing-masing satu orang pelajar.
Kesemua pelajar terbabit kini sedang menjalani program persiapan diri dan akan berlepas ke negara tersebut secara berperingkat bermula September depan.
Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke luar negara (Know Before You Go) antaranya adalah bagi memberi pendedahan dan penerangan berkenaan urusan konsular oleh Bahagian Konsular Wisma Putra.
Selain taklimat ancaman keselamatan dan ekstremis oleh Polis Diraja Malaysia, taklimat urusan di lapangan terbang, urusan kewangan dan prosedur yang perlu dipatuhi semasa menjadi pelajar tajaan MARA di luar negara nanti.
“Kesemua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara adalah berdasarkan keputusan yang cemerlang semasa mengikuti pengajian persediaan seperti A-Level, International Baccalaureate, American Degree Transfer Program, Diploma, Foundation serta Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana,” ujarnya.
Pelajar terbabit tambah Mahdzir, sebelum ini juga telah menghadiri Program Pemantapan Karisma yang diadakan selama 3 hari.
Mereka telah didedahkan berkaitan prinsip utama konsep kenegaraan bagi memahami kepentingan Kerajaan dalam pentadbiran Malaysia.
Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Ia dirangka khusus untuk membina jati diri kebangsaan yang mantap dalam kalangan pelajar sebagai golongan yang beridealisme agar selari dengan matlamat utama MARA.
Selain itu, program tersebut juga bertujuan memupuk aspek kepimpinan dalam diri setiap pelajar bagi menghasilkan generasi yang mempunyai potensi dan berkemahiran tinggi.
MARA menyasarkan untuk menghantar pelajar tajaannya ke luar negara seramai 1,500 orang setiap tahun.
“MARA akan terus melahirkan golongan pelajar yang peka tentang konsep berkerajaan serta mengetahui dasar-dasar negara berpandukan perlembagaan persekutuan dan prinsip rukun negara,” kata Mahdzir lagi.
Untuk rekod, MARA kini mempunyai sejumlah 3,229 orang pelajar tajaannya di 19 buah negara.
Kesemua mereka melanjutkan pengajian di 50 universiti terbaik dunia mengikut QS Ranking 2022 dan 20 terbaik mengikut kedudukan kursus yang ditawarkan.