4 OGOS : Malaysia dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah warga Kemboja awal September depan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, tarikh pemeteraian perjanjian itu akan ditetapkan selepas beberapa kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiapkan ulasan mereka mengenai perkara itu.
“Kita sudah edarkan kertas kabinet kepada kementerian-kementerian berkaitan untuk meminta ulasan. Apabila ulasannya siap, kita akan tandatangani MoU itu bersama pihak Kemboja.
“Ia (MoU bersama Kemboja) dijangka pada minggu pertama bulan September dan apabila ditandatangani, kita sudah boleh bawa amah (pembantu rumah) dari Kemboja,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Klinik Kemuning Utama di sini hari ini.
Saravanan berkata, pihaknya juga sudah menyelesaikan isu-isu dengan semua negara sumber dan Malaysia mula menerima pekerja dari semua negara termasuk Bangladesh dan Indonesia.
Sementara itu, ketika dirujuk mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata partinya sudah bersedia bagi menghadapi pilihan raya itu.
“MIC sudah bersedia, kita juga memilih penyelaras untuk semua bahagian. Jentera-jentera kita sudah bersedia,” katanya.
Beliau berkata, bagi pemilihan calon yang akan bertanding, beliau menyerahkan kepada Presiden, Tan Sri S A Vigneswaran, kerana ia adalah kuasa mutlak presiden. – BERNAMA