4 OGOS : Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan persidangan cawangan-cawangan UMNO akan bermula pada 15 Ogos ini sehingga 18 September akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menetapkan mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bermula pada 7,8 dan 9 Oktober 2022, manakala mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan bermula pada 14, 15 dan 16 Oktober 2022.
“Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan bermula pada 23 November sehingga 26 November ini.
“Mesyuarat MKT malam ini juga membuat keputusan bahawa tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung, tiada pemilihan jawatan disemua peringkat pada kali ini,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.
Tambahnya lagi, MKT memperakukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan UMNO yang berkuatkuasa mulai 29 Julai 2022.
“MKT merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan yang diberikan itu.
“Negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh, enakmen negeri masing-masing setelah Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan larangan lompat parti selesai digazetkan,” jelasnya.
Selain itu, kata Ahmad Maslan lagi, MKT juga menggesa agar jentera parti di semua peringkat menumpukan kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU-15, bila pun tarikhnya yang akan ditentukan.